Monday, April 8, 2013

Arwah Walid yang sentiasa dirindui Cik Dayang....

Assalamualaikum w.b.t

Sudah lama sangat rasanya tidak menulis disini. Alhamdullilah syukur masih diberi peluang untuk bernafas dan teruskan kehidupan dalam dunia yang serba mencabar kini. Masih dapat melihat suami dan anak tersayang, dapat mendengar suara bonda yang ceria setiap hari melalui panggilan telefon. Bersyukur masih lagi dapat panjatkan doa buat arwah walid tercinta yang telah kembali menghadap ilahi pada 12 Ogos 2004.

Nukilan ini adalah untuk mengingati arwah yang sentiasa diingati dan dirindui. Saat paling diingati apabila ketika mengaji Al-Quran, saya tidak pasti kenapa perasaan sebak tiba-tiba hadir tiap kali ketika mengaji sehingga air mata mengalir tanpa henti.  Mungkin salah satunya adalah kalau la arwah tidak mengajar aku mengaji dulu mungkin saya tidak pandai mengaji sekarang.  Sentiasa teringat dan selalu bercerita kepada suami, bagaimana saya dan adik-beradik diajar mengaji. Arwah sangat la garang orangnya, tiap kali mengaji sudah pasti dimarahi, dilibas dengan tuala yang terletak di atas bahunya kerana tidak dapat membaca dengan lancar, sudah pasti setitik dua air mata akan jatuh di atas permukaan Al-Quran. Saya sangat merindui saat itu.... :(

Arwah memang sangat tegas orangnya, tiada siapa boleh membatah kata-katanya.  Walaupun bonda, hanya mengiyakan sahaja setiap kata-kata yang keluar dari mulutnya. Ketika zaman kecil saya, saya boleh dikategorikan nakal la jugak. Arwah merupakan pengawal keselamatan di kala usia nya makin meningkat arwah tidak mampu untuk membuat kerja lebih berat, kerana arwah ada senapang dengan senapang itu lah arwah mencari rezeki untuk kami. Setiap petang sudah pasti selepas tamat sesi fardhu ain saya tidak akan berada di rumah, mencari kawan-kawan untuk bermain. Saya mesti wajib pulang sebelum arwah pergi bekerja, jika saya lewat sudah pasti aku dapat hukuman, hukumannya sangat berat iaitu dirotan menggunakan pencuci senapangnya yang dibuat daripada buluh.  Pernah sekali, saya pulang lewat sempat menyorok di bawah rumah sementara menunggu arwah pergi kerja. Tapi arwah lagi bijak dan terlebih dulu dapat mencium bau bahawa saya sedang menyorok, arwah hanya memanggil "sudah la Cik Dayang pergi naik dan mandi walid nampak dah pun". Geli hati...hehe. Saya dengan muka selamba, dan tersengeh-sengeh terus naik.

Kalau bergaduh sesama adik-beradik macam tu jugak, kalau ada yang menangis antara kami sudah pasti setiap orang akan mendapat hukuman. Jadi seelok-eloknya nangis dalam nada yang paling perlahan..hehe.  Kalau lepas bergaduh bila dah terkantoi, masing-masing menyorok di tempat paling 'terbaik' la kononnya, tapi HARAP MAAF memang langsung tidak selamat arwah pasti mencari sehingga arwah jumpa. Kalau duduk bawah katil, ditariknya kaki sampai la kami menyerah diri. Seronok dalam ketakutan ketika itu...hehe.


Kini genap sudah sembilan tahun arwah meninggalkan kami. Alhamdullilah setelah arwah terlantar sakit selama sebulan, arwah pergi dalam keadaan tenang. Saya sangat bangga dengan bonda, setitik air mata tidak kelihatan mungkin bonda redha kerana tindak sanggup lagi melihat arwah terlantar sakit, sukar untuk makan dan memakai lampin pakai buang.  Ketika itu aku berusai 17 tahun dan akan menduduki peperiksaan SPM, mungkin sedikit menggugat emosi tapi tidak berlarutan kerana bila saya lihat bonda yang sangat kuat dan tabah untuk menghadapi ujian ini. Syukur juga saya dikurniakan adik-beradik yang ramai (8 orang) dan saya adalah anak bongsu, setelah arwah pergi meninggalkan kami. Allah s.w.t kurniakan rezeki yang melimpah ruah kepada kami, saya masih bersekolah dan dapat menyambung pelajaran walau hanya sekadar di Politeknik hanya dibiayai oleh abang-abang dan kakak-kakakku. Alhamdullilah kini saya telah bekerja, walaupun hanya jawatan sokongan tapi dapat membalas jasa ahli keluarga yang selama ini banyak membantu saya untuk belajar.


Saya pernah dua kali mimpikan arwah, kali pertama melihatnya dalam mimpi sangat daif arwah duduk di atas kerusi tidak memakai maju hanya tuala di atas bahu dan berkain pelikat sambil memerhatikan cucunya bermain.  Kali kedua pula, sangat membuatkan saya gembira kerana saya bertembung dengan arwah di dalam masjid ketika itu arwah memakai serban dan jubah sedang mengaji, saya bagitahu arwah "walid tunggu kejap ye orang nak ambik wudhuk" arwah memandang saya sambil tersenyum tapi setelah aku mengambil wudhuk dan pergi semula arwah telah tiada. Alhamdullilah arwah bahagia di sana.

Arwah hanya dapat melihat cucunya seorang sahaja, kini cucunya ramai iaitu sepuluh orang. Termasuk lah anak saya, arwah tidak sempat kenal dan lihat bahkan ketika saya berkahwin pun arwah telah tiada hanya abangku yang sulung sebagai wali.  Ketika itu aku sangat sebak dan rasa cemburu kepada dua orang kakakku yang sempat berwalikan arwah. Tapi tak apa la kerana saya bersyukur saya masih lagi ada bonda, ibu dan bapa mertua yang saya tahu mereka sangat menyanyangi saya. 

Memang saya mengaku, sangat cemburu bila melihat sahabat-sahabat lain dapat mencium tangan ayah mereka ketika di hari raya, tapi saya tidak dapat lagi. Tapi saya sentiasa ingat saya ada suami dan ayah mertua jugak. Itu pun dah cukup membahagiakan....

Kini dalam setiap solat, saya tidak pernah lupa untuk berdoa kepada arwah dan ibu serta mentuaku. Semoga saya sentiasa merindui dan tidak pernah lupa sesaat pun kepada arwah. Semoga Allah s.w.t tempatkan arwah di kalangan orang-orang yang beriman. Amin....